I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, May 17, 2012

Kewartawanan Global :MEDIA ISLAM PENANGKIS AGENDA BARAT




Penonton, pendengar, pembaca mahupun pelayar internet adalah golongan yang dahagakan maklumat dari semasa ke semasa. Kini, peranan media menjadi begitu penting untuk menyebarkan maklumat yang telus dan tulus. Media Barat dikatakan tidak jujur dan banyak agenda yang tersirat. Contohnya,  Sebuah majalah di Barat cuba menonjolkan pengertian yang salah tentang Islam, iaitu dengan kenyataan berikut: “Islam is the terrorist… Muslims are the victim”….”we pray that the weapon of mass destruction, Islam, be torn down.” (Terjemahan: Islam adalah pengganas… Orang-orang Islam sendiri yang menjadi mengsanya. Kita berdoa supaya senjata pemusnah itu, iaitu Islam dimusnahkan) – (majalah TIME, hal. 50, 30 Jun, 2003). Bahkan melalui medium tersebut, bahan yang mengandungi perkara bertentangan dengan Islam telah disebar secara meluas melalui berita dan hiburan bagi menjajah pemikiran umat islam. Menjelang abad ke-20 persepsi negatif barat terhadap Islam terus meningkat seiring perkembangan pengaruh media  dengan pengenalan teknologi media baru seperti radio dan televisyen (Abu Bakar, 2000). Namun sejauh manakah peranan media islam dalam menangkis serangan pemikiran Barat? Apakah kekuatan media Islam dalam menyampaikan informasi tanpa batasan? Mungkinkah ‘diam-diam berisinya’ media bakal meletus api amarahnya pada bila-bila masa?

PENGENALAN

Firman Allah dalam surah al-Hujuraat, ayat 6 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang yang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak  menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejadian kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”.  

Menurut kamus Dewan media massa membawa maksud pelbagai jenis alat perhubungan (seperti televisyen, radio, surat khabar, majalah dan sebagainya) yang dapat menyampaikan maklumat kepada orang ramai dengan cepat (Kamus Dewan, 1989). Media massa sebagai alat yang paling berkesan dalam proses penyampaian informasi serta maklumat kepada masyarakat. Begitu juga media dianggap sebagai wadah utama dalam perkembangan sesuatu isu. Peranan media massa dalam membangunkan negara sememangnya tidak dapat dinafikan. Ia boleh dilihat sejak era sebelum kemerdekaan lagi di mana semangat nasionalisme ditiup oleh media massa khasnya akhbar untuk membangkitkan semangat menentang penjajah. Bermula dari era tersebut media massa memainkan peranan yang terbaik dalam membantu kerajaan untuk membangunkan negara ini di atas fungsinya sebagai pemerhati, penghubung, pentafsir dan penghibur.

Contoh yang paling jelas ialah penubuhan akhbar Utusan Melayu (Utusan Malaysia), ia ditubuhkan oleh pemimpin-pemimpin Melayu pada era sebelum kemerdekaan khas untuk menjadi penghubung, pentafsir dan pemerhati di antara golongan nasionalis dengan rakyat. Ketika rakyat menghadapi saat-saat genting itu, akhbar ini juga menyalurkan sedikit cerita ringan seperti prebiu filem sebagai hiburan untuk menenangkan rakyat.

KEHADIRAN MEDIA BARU

Kehadiran media baru dengan saluran semakin menarik seharusnya menjadikan sumber maklumat lebih baik. Kemunculan internet dan hadirnya beberapa saluran seperti laman blog, laman sosial seperti facebook dan myspace meluaskan lagi jalan-jalan mendapatkan maklumat. Perkembangan media di negara-negara Islam turut tidak terkecuali daripada mengikuti arus teknologi maklumat. Kemunculan media-media yang menyokong perjuangan Islam juga meledak untuk mengimbangi pengaruh media barat yang sedang berleluasa. Justeru media memainkan peranan dan tanggungjawab yang penting serta amanah yang sangat berat dalam menyampaikan maklumat yang benar, tepat dan berfaedah kepada masyarakat. Bukan itu sahaja, maklumat yang disebarkan oleh media juga perlu mengambil kira tanggungjawab mendidik masyarakat ke arah  kebaikan dan menjauhi kemungkaran.


           Islam merupakan agama dakwah yang memerlukan umatnya menghubungkan diri sendiri dan masyarakat kepada Allah. Islam menurut bahasa adalah ‘selamat’ , Islam menurut istilah adalah percaya serta patuh dengan apa yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang (Al-Shak’ah, 1996). Maka, perkembangan media menerusi teknologi komunikasi seharusnya dimanfaatkan dalam menjalankan dakwah. Kebergantungan masyarakat kepada media tradisional, semakin berkurang seiring perkembangan media baru dan ia perlulah dilaksanakan untuk menyeru kebaikan serta mencegah kemungkaran. 

          Bagi menepati hasrat media Islam, setiap pengamal dan agensi media berkenaan perlulah berpegang kepada prinsip-prinsip Islam itu sendiri.  Prinsip yang wajib berpegang kepada tanggungjawab kebaikan dan kebenaran. Ia penting bagi mengelakkan daripada berlakunya putar belit sesuatu maklumat berkenaan yang boleh mempangaruhi pemikiran masyarakat. Isu Palestin sebagai contoh yang terdekat.  Kita boleh melihat bagaimana berita yang datangnya dari Timur Tengah yang dipaparkan oleh media Barat telah diputar belit sehingga mewujudkan fenomena salah faham masyarakat dunia.

         Media barat telah menggambarkan mangsa dalam kalangan rakyat Palestin sebagai penganas dan Israel yang secara terang-terangan melakukan keganasan pula digambarkan sebagai mangsa. Jadi, putar-belit ini telah mengurangkan simpati masyarakat kepada perjuangan dan nasib rakyat Palestin. Jurugambar telah mengambil beribu-ribu keping gambar dan kemudiannya memilih sebahagian gambar yang boleh membentuk pandangan masyarakat. Namun yang dipilih itu adalah gambar yang  menyebelahi rejim zionis.  Perlu diakui, dunia/negara barat telah mendahului teknologi berbanding umat Islam.

Oleh sebab itu,  kita memerlukan kekuatan kewangan bagi membiayai media Islam untuk bersaing dengan media barat. Ini kerana apabila kita bercakap mengenai persaingan, kita harus berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan mereka. Umat Islam perlulah bersaing dalam aspek infrastruktur dan teknologi seperti satelit memandangkan barat kelihatan lebih maju. Negara barat bukan sahaja memiliki satelit yang memudahkan proses penyampaian sesuatu maklumat, malah mampu mengawalnya. Cabaran dalam membentuk pemikiran masyarakat Islam yang bebas daripada pengaruh media barat. Ini amat penting kerana selama ini, masyarakat kita terdahulu bergantung kepada laporan media barat.

Menyentuh mengenai media, ia adalah sebahagian daripada Islam. Kenapa? Ini kerana media memainkan peranan yang sangat penting dalam pengembangan dan pengukuhan Islam.  Seperti agama-agama besar yang lain yang tercatat dalam sejarah manusia contohnya Nasrani, Yahudi, Hindu, Buddha dan sebagainya, Islam diturunkan bersama-sama dengan media kepada seluruh umat manusia. Islam berkembang kerana al-Quran kerana di dalamnya terdapat informasi dan maklumat yang menyeluruh dari zaman dahulu hinggalah perkara yang akan datang. Al-Quran adalah media yang menyampaikan perkara-perkara yang benar dan bebas daripada penipuan dan manipulasi.

Namun jika dilihat pada hari ini, media seakan-akan terpesong dari objektif sebenar mereka. Tidak hairanlah sekiranya ada segelintir individu yang memboikot media kerana dikatakan pihak media berat sebelah dan tidak berani untuk menyampaikan berita yang benar malahan cerita telah diterbalikkan, ditokok tambah dan dimanipulasikan. Fenomena yang berlaku sekarang adalah menjadi tanggungjawab media Islam dan peranan itu begitu besar kerana menjadi nadi dalam masyarakat untuk mendapatkan berita yang benar dan tepat. Media barat dilihat sebagai begitu ghairah mempertahankan bahawa kebenaran berpihak kepada mereka. Senang hati melihat umat Islam ditindas dari pelbagai sudut. Wartawan media Islam memegang amanah yang berat sebagai wakil dalam masyarakat dan juga dunia dalam mendapatkan sumber yang tepat dan sahih untuk disalurkan kepada pendengar, pembaca dan penonton tanpa ada sebarang tokok tambah dan putar belit.


SERANGAN BARAT TERHADAP MEDIA DAN UMAT ISLAM



Mengimbas kejadian 11 September 2001, dari situ bermulanya istilah Islam sebagai penganas kerana melihat kepada perbuatan tanpa melihat kepada sebab ia terjadi. Masyarakat Barat menghentam fakta-fakta sebenar dan menyerang umat Islam serta mempengaruhi masyarakat dunia dengan propaganda-propaganda yang tidak adil dan penuh diskriminasi terhadap Islam.

            Manakala media-media Islam pula cuba menangkis serangan-serangan tersebut dengan pelbagai metode. Maka,wujudnya Perang Informasi antara media Islam dan barat. Sebagai contoh, dunia turut dikejutkan dengan tindakan ganas dan tidak keperimanusiaan yang dilakukan oleh tentera Israel ke atas konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza sehingga mengakibatkan aktivis-aktivis tersebut  terbunuh dan tercedera. Berita serangan ini adalah berita yang benar namun apa yang menyedihkan ialah ia telah diputar belitkan oleh media barat bahawa aktivis konvoi tersebut yang memulakan serangan terlebih dahulu dan menuduh mereka membawa senjata.

           Di negara barat, selepas daripada kejatuhan kuasa komunisme, ancaman komunisme dianggap lenyap dan diganti pula dengan dengan ancaman Islam. Selepas kejatuhan kuasa komunisme pada tahun 1989, pihak barat khususnya negara Amerika Syarikat telah melabelkan aktivis-aktivis Islam sebagai subversif yang baru dengan andaian bahawa sesiapa sahaja bergelar aktivis Islam yang memegang tampuk kepimpinan dan pemerintahan bagi sebuah negara akan mengancam secara langsung kepentingan-kepentingan Amerika Syarikat. Hampir semua industri utama media Barat dikuasai oleh pihak Zionis, atau sekutu-sekutu mereka, atau mereka yang mempunyai kepentingan hasil daripada hubungan dengan pihak Zionis, atau mereka yang telah dipengaruhi oleh pihak Zionis.

          Terdapat perancangan Zionis antarabangsa untuk melemahkan umat Islam dan menghina Islam. Dengan penguasaan pengaruh mereka terhadap media dan kesarjanaan Barat, pihak Zionis telah menjadikan Islam dan penganutnya sebagai sasaran dalam usaha untuk menghentam Islam dan penganutnya. Mereka gemar menggambarkan orang-orang Islam sebagai agama yang sukakan pertelingkahan dan orang-orang Islam sebagai orang yang mengagungkan keganasan, huru-hara dan kekacauan.

Hasrat mereka sebenarnya adalah untuk mengaburi mata dunia tentang kezaliman mereka sendiri. Dengan menggambarkan Islam sebagai sesuatu yang jahat dan orang-orang Islam sebagai yang dibenci, pihak Zionis sebenarnya cuba untuk memberikan justifikasi kepada pendudukan haram mereka di Palestin dan tanah-tanah Arab yang lain. Mereka cuba melindungi keganasan dan kezaliman mereka dengan menyatakan bahawa penduduk Palestin yang bertindak zalim sedangkan hakikat sebenarnya adalah sebaliknya. Itulah sebabnya orang-orang Palestin dan Arab yang menentang Israel dan para sekutunya digambarkan sebagai pengganas dan militan di dalam media-media utama Barat.

Tidak perlu diperkatakan lagi, kebanyakan aktiviti-aktiviti yang mencetuskan kekacauan dan mengancam kestabilan di Timur Tengah adalah disebabkan oleh kerja-kerja jahat badan perisikan rahsia Israel, Mossad. Victor Ostrovsky, bekas ejen Mossad di dalam bukunya By Way of Deception menceritakan keterlibatan beliau di dalam aktiviti-aktiviti perisikan beliau dalam usaha pihak Zionis untuk meletakkan kesalahan ke atas orang-orang Arab dan dunia Islam mengenai kejadian-kejadian keganasan dan jenayah. Ada juga ejen-ejen Zionis ini yang menyamar sebagai pelampau Arab atau Muslim yang melakukan tindakan-tindakan yang berbentuk keganasan. Dalam banyak kes, pihak CIA dan FBI juga bekerjasama dengan badan-badan perisikan rahsia Israel.

RANCANGAN JAHAT BARAT TERHADAP ISLAM

Barat tidak pernah berhenti membenci dan sentiasa merancang siang dan malam untuk menghancurkan Islam dan umatnya. Mereka pada setiap ketika mencari-mencari kelemahan umat Islam sehingga mereka mendalami serta meneliti semua perkara tentang kaum Muslimin dan Islam yang akhirnya mereka mendapati bahawa kekuatan Islam dan umatnya terletak pada aqidah Islam dan pemikiran-pemikiran yang terpancar darinya. Bertolak dari situ,  mereka merancang dan berusaha untuk memusnahkan Islam.
Antara kaedah yang mereka lakukan adalah dengan cara menghapuskan Islam sebagai aqidah siyasiyah (dasar sistem politik) dan menggantikannya dengan aqidah sekularisme (pemisahan agama dari kehidupan). Mereka berusaha mengembangkan idea-idea yang muncul dari aqidah sekularisme ini seperti nasionalisme, demokrasi, pluralisme politik, Hak Asasi Manusia (HAM), kebebasan, dan politik pasaran bebas.

Di samping itu, untuk menjauhkan keinginan kaum Muslim untuk kembali kepada Islam, mereka secara terancang memberikan label-label negatif terhadap Islam dengan istilah-istilah seperti pengganas, fundamentalis, konservatif, ekstremis dan  lain-lain. Mereka juga melakukan perang propaganda seperti  memberikan gelaran-gelaran negatif, maklumat yang salah, memberikan persepsi yang berbeza, mengaburkan atau mengalihkan isu utama kepada isu lain serta cara-cara propaganda lain.  Mereka melakukan penyesatan pandangan terhadap kaum Muslimin. Semuanya itu  berpunca daripada satu perkara  iaitu sebagai satu usaha untuk menghancurkan  Islam sebagai satu kekuatan politik dan ideologi sekaligus menghalang tertegaknya Daulah Islamiyah dan penerapan Islam yang kaffah.

Di antara bahagian utama propaganda adalah penyesatan pandangan. Propaganda merupakan suatu proses yang melibatkan seorang/pihak penyiar atau penyebar bertujuan untuk mengubah sikap, pendapat, dan tingkah laku penduduk yang menjadi sasarannya melalui simbol-simbol yang disampaikan di dalam bentuk lisan, tulisan, dan tingkah laku dengan menggunakan media seperti buku-buku, lembaran, filem, ceramah, dan lain-lain. Propaganda merupakan salah satu kaedah tipikal yang digunakan oleh sesebuah kerajaan untuk mengawal keadaan/emosi, memelihara, dan menerapkan kekuasaan dalam rangka melaksanakan kepentingan dalam negaranya. (Columbus dan Wolf, Pengantar Hubungan Antarabangsa , ms. 184). 

PROPAGANDA DAN ISLAMOPHOBIA

Daripada definisi di atas, Propaganda merupakan perkara yang ‘wajib’ ada dalam sebuah negara, terutamanya negara yang mempunyai ideologi. Di sinilah pemimpin atau rakyat sesebuah negara mesti mampu menentukan yang mana dikatakan  propaganda dan mana yang tidak. Pemimpin atau rakyat sebuah  negara yang gagal memahami propaganda negara lain akan menjurus kepada berlakunya perubahan sikap, pendapat, dan perilakunya menurut kehendak dan matlamat kepentingan politik musuh. Umat Islam sebagai umat yang mempunyai ideologi mesti menyedari kewujudan ’propaganda’.

Propaganda dilakukan secara terancang untuk mendapat kepentingan jangka pendek atau untuk meraih kepentingan jangka panjang. Untuk jangka pendek, contohnya, mengesahkan serangan ke atas sesebuah negara dan menjatuhkan sesebuah rejim atau pemerintahan di sebuah negara seperti propaganda Amerika Syarikat untuk menjatuhkan rejim Saddam Hussein, Soekarno, dan Soeharto, termasuk Taliban di Afganistan. Sebagai contoh, ketika hendak menyerang Iraq dalam Perang Teluk II, Amerika Syarikat melancarkan propaganda dengan melakukan pembohongan maklumat kepada kongres dan rakyatnya.

Propaganda boleh dilakukan  untuk kepentingan jangka panjang. Propaganda seperti ini biasanya lebih berkaitan dengan nilai-nilai ideologi yang ingin disebarkan di pihak lawan dan, sebaliknya, menanamkan ‘perasaan benci’ terhadap nilai-nilai ideologi yang dipegang oleh negara musuh. Jenis propaganda seperti ini biasanya memerlukan waktu yang panjang, dilakukan secara sistematik serta terus-menerus dilakukan. Sebagai contoh, bagaimana AS dengan aktif menyebarkan nilai-nilai ideologinya seperti sekularisme, demokrasi, Hak Asasi Manusia (HAM), kebebasan, dan konsep pasaran bebas. Sesungguhnya ini merupakan propaganda jangka panjang Amerika Syarikat.

Tujuannya jelas, iaitu untuk kepentingan Amerika Syarikat sendiri. Sebaliknya, Amerika Syarikat membuat pandangan negatif terhadap lawan kepada ideologinya. Amerika Syarikat akan melontarkan tuduhan-tuduhan palsu dengan melabel ideologi yang menentangnya sebagai pengganas, ekstrimis, konservatif, dan pandangan buruk yang lainnya. Kaedah utama propaganda jangka panjang ini dilakukan oleh Amerika Syarikat ini adalah di dalam bentuk pemalsuan maklumat, iaitu melakukan penyimpangan pandangan. Inilah yang sedang dilakukan oleh Amerika Syarikat kepada musuh utama ideologinya, yakni Islam. Pada sepuluh tahun lepas, tidak ada seseorang pun pernah atau menggunakan perkataan ‘Islamphobia’. Kini setiap lapisan masyarakat di dunia ini mulai dari pemimpin-pemimpin muslim sampai ke para menteri ingin menyakinkan kita bahawa barat sedang dilanda kurang senang terhadap Islam. Islamofobia adalah istilah kontroversi yang membawa maksud kepada prasangka dan diskriminasi pada Islam dan Muslim.

Maksud Islamophobia ini adalah adalah sifat benci terhadap penganut agama Islam,  pandangan negatif dan menganggap orang Islam ini jahat dan juga pengganas. Ramai masyarakat  di negara barat khususnya rakyat Amerika Syarikat menganggap agama Islam ini berkembang dengan pedang. Pengaruh Islamophobia ini mula menjadi perhatian apabila berlakunya tragedi 11 September apabila beberapa buah kapal telah dirampas oleh golongan pengganas yang dipercayai anggota al-Qaeda yang dipimpin oleh Osama bin Laden. Pesawat yang dirampas telah merempuh bangunan berkembar Pusat Dagangan Dunia di New York, Pentagon dan juga cuba untuk merempuh kediaman rasmi presiden Amerika iaitu White House .

Pengaruh Islamophobia semakin menular sehingga banyak yang berpendapat bahawa Islam in agama yang menyokong kepada keganasan. Akibatnya masyarakat Islam di Amerika Syarikat di diskriminasikan, dilemparkan dengan tohmahan buruk serta dicerca dengan perkataan yang selama ini tidak pernah dikeluarkan. Keadaan ini diburukkan lagi apabila presiden Bush iaitu Presiden Amerika pada waktu itu melancarkan kempen ‘War on Terror’ menentang keganasan.

  Darah umat Islam seolah-olah halal dibunuh seperti penyembelihan etnik, dengan alasan mereka adalah pengganas dan harus dibunuh. Manakala Saddam dihukum gantung, pergerakan ataupun pertubuhan masyarakat Islam di Indonesia dihapuskan kerana mana-mana kumpulan yang menentang ataupun cuba untuk menegakkan kebenaran bagi membidas Amerika dan Israel dianggap pengganas.

 Kebanyakan wacana atau naratif isi kandungan media Barat menyalahkan Hamas yang mencetuskan serangan rejim Zionis di Gaza dengan serangan roket Al Qassam milik Hamas yang terus membatalkan gencatan senjata pada 19 Disember 2008. Tetapi apa yang menghairankan sejak sepuluh hari laporan serangan ke atas Gaza, tiada satu pun laporan berita daripada media Barat yang menyebutkan jumlah kematian di pihak Israel yang terbunuh akibat serangan roket Hamas.

           Tinjauan yang dilakukan oleh Ahmed Bouzid yang dipetik daripada Palestine Media Watch (PMW) hanya didapati laporan berita seorang lelaki Yahudi terbunuh dan lebih kurang sedozen lagi mengalami kecederaan. Tetapi tiada laporan rasmi yang melaporkan kematian penduduk Israel. Apa yang dilaporkan sekurang-kurangnya 110 roket Al Qassam yang dilancarkan ke Israel sejak Sabtu pagi (20 Disember) manakala sesetengah laporan memetik sumber Tentera Pertahanan Israel (IDF) menyatakan sejumlah 300 roket dilancarkan sepanjang minggu tersebut. Tetapi manakah fakta kematian di pihak Yahudi itu? Persoalannya, kenapakah tiada fakta jumlah kematian itu sekarang? Bolehkah kita percayai laporan media Barat. Kita sedang berhadapan dengan masalah fakta dan kesahihan berita. Suatu perkara asas dalam laporan berita dan kewartawanan. Jangan lupa apabila membaca berita dari Barat ini, periksalah faktanya.

Sudah sampai masanya untuk kita tidak terus bergantung kepada laporan media Barat terutamanya dalam isu berkaitan dengan umat Islam. Kita harus bersikap kritikal terhadap segala fakta yang dikemukakan. Jangan lagi terperdaya dan terperangkap dengan laporan yang membohongi dunia dahulu bahawa serangan ke atas Iraq kerana Presidennya, Allahyarham Saddam Hussein memiliki senjata nuklear.

Perkara ini sering berlaku di kalangan pengamal media Barat yang menggunakan alasan kebebasan media untuk kepentingan mereka namun hakikatnya mereka sering memihak walaupun nampak bebas di atas kertas. Oleh itu perkara yang sering dimainkan oleh media Barat pastinya tentang keburukan agama Islam sehingga menimbulkan tanggapan buruk terhadap agama suci itu. Propaganda media Barat sehingga berjaya menerbitkan perasaan Islamophobia dalam kalangan rakyat mereka adalah antara agenda jahat mereka bagi mendedahkan keburukan berbanding nilai sebenar yang diperjuangkan dalam Islam.


Selepas peristiwa 11 September, media barat digunakan sepenuhnya oleh pihak-pihak tertentu untuk menyerang Islam dengan cara yang sengaja, lebih agresif dan lebih meluas. Penyerangan Afghanistan telah bermula melalui media dan malahan sebahagian besarnya berlaku melalui media untuk mewajarkan tindakan Amerika itu dan untuk mendapatkan sokongan antarabangsa. Usaha untuk menangkap Osama bin Laden bukanlah sekadar pemburuan ke atas orang yang disyaki menjadi perancang tragedi 11 September tetapi juga pemburuan ke atas rangkaian al-Qaedah dan semua gerakan serta organisasi Islam. Begitu juga dengan kempen Amerika ke atas Iraq. Sebagai contoh, ulasan media dari The New York Time iaitu media cetak Amerika Syarikat dilihat lebih membela kepentinagan Israel walaupon ia tidak dilakukan dan dilihat secara terang-terangan. Dalam kata lain, media cetak dari Amerika Syarikat ini membebaskan berita-berita yang berunsurkan ketidaksahihan ini kerana mereka berada dibawah penguasaan dan kokongan Israel sendiri.

PENUTUP 

            Media Islam perlulah berhati-hati dan bertindak bijak dalam melaporkan isu-isu yang berkaitan dengan politik, agama dan globalisasi. Media islam juga haruslah mengelakkan diri daripada berkecenderungan berpaut pada pemberitaan politik sensasi atau hiburan keterlaluan. Langkah ini wajar difikirkan dan diambil tindakan oleh pihak media massa bagi menjamin rakyat mendapat maklumat yang betul, tepat, dan dapat membantu rakyat memahami politik tanah air dengan yang lebih jelas dan telus. Kerapuhan isu dan pelanggaran etika kewartawanan dalam melaporkan isu-isu khususnya politik dan agama akan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap pemimpin politik, sistem demokrasi, dan media massa itu sendiri. 

           Kesimpulannya, peranan media pada hari ini, semakin hari semakin banyak propaganda yang telah dicetuskan terutamanya media barat. Banyak berita yang betul dan sahih telah dimanipulasikan kepada sesuatu yang tidak tepat. Sebagai contoh yang terjadi di Gaza. Banyak berita mengenai penderitaan serta kesengsaraan rakyat Palestin dan sebagainya. Nanum, apa yang disebarkan adalah keburukan Palestin dan kebaikan Israel. Rentetan dari peperangan ini, secara logiknya adalah berpunca dari Israel sendiri dan saya amat kasihan dan sedih melihat rakyat Palestin diperlakukan seperti binatang oleh rejimen zionis Israel yang tidak keperimanusiaan. Media adalah perantaran yang paling penting yang dapat mengubah persepsi penduduk dunia. Tetapi, apa yang diharapkan semuanya tiada. Media sepatutnya memainkan peranan yang lebih penting dalam menyampaikan sesuatu informasi tanpa mengira media dari Amerika Syarikat, Arab Saudi ataupun mana-mana media sekalipun. Tidak kiralah wartawan, editor atau sesiapa yang terlibat dengan dunia media ini terutamanya media barat seolah-olah membuat kerja sambil lewa dan tidak menitikberatkan sesuatu berita. Walaupun  media barat banyak menyampaikan berita-berita palsu, sebagai media Islam, kita hendaklah menindas dan menangkis semula tomahan dan fitnah yang telah disebarkan oleh media barat. Kekejaman dunia hari ini seharusnya diketahui oleh segenap lapisan pendunia dipelusuk dunia. Janganlah disalahgunakan kuasa media yang diberikan itu.  Kasihanlah kepada mereka yang tertindas.

Sunday, May 13, 2012

Teater Muzikal Rubiah.... versi UUM








Makluman bahawa Pusat Budaya dan Seni, Universiti Utara Malaysia akan mengadakan pementasan teater muzikal Rubiah pada 18 Mei 2012 (Jumaat) Jam 8.30 malam, bertempat di Dewan Budi Siswa..Jom turun ramai-ramai...jumpa disana....

Saturday, May 12, 2012

...Mengenali Dunia Kewartawanan...



Kewartawanan 
Usaha mengumpul bahan, menulis, menyunting dan menerbitkan bahan-bahan tersebut dalam akhbar, majalah, televisyen atau radio.
Wartawan
Orang yang bertugas dalam bidang kewartawanan, sama ada kewartawanan akhbar, majalah, televisyen atau radio.



JENIS KEWARTAWANAN
Terdapat dua jenis kewartawanan, iaitu kewartawanan cetak dan kewartawanan elektronik. Kewartawanan cetak merangkumi media akhbar, majalah dan buku, manakala kewartawanan elektronik ialah merangkumi TV dan radio.

Walaupun terdapat perbezaan dari segi tumpuan kandungan, peranan yang dimainkan oleh kedua-dua bentuk kewartawanan ini adalah penting.

Keberkesanan penyiaran radio dan TV dalam menyampaikan maklumat dan berita kepada orang ramai dengan pantas dan terkini sudah tentu lebih berkesan dibandingkan dengan liputan yang dibuat akhbar yang biasanya disiarkan pada keesokan hari.

Namun akhbar mampu pula melaporkan secara terperinci akan sesuatu peristiwa. Malah sebahagian besar kandungan akhbar adalah berita dan maklumat. Dengan kata lain sasaran media elektronik adalah kepada selesa pendengaran dan tontonan, sementara media cetak adalah kepada pembacaan.

Bagi media elektronik terutama TV, kejayaan atau keberkesanan peranan yang dimainkannya amat bergantung kepada mutu dan skop liputan siaran beritanya, manakala bagi media cetak pula tidak dapat dinafikan bahawa beritalah yang melambangkan  kejayaan sesebuah akhbar atau majalah



CIRI-CIRI  WARTAWAN

Selain mempunyai tanggungjawab terhadap segala laporan yang dibuat, wartawan perlu juga mempunyai beberapa ciri yang membolehkannya bertugas dengan jujur, yakin dan menjadikan tugasnya  mudah serta berkesan.


1.         Ingin tahu      -   bukan sahaja untuknya tetapi bagi pihak pembaca.
2.         Imaginasi       -   untuk mengetahui apa yang pembaca inginkan.
3.         Dedikasi         -   berusaha  sendiri untuk mendapatkan bahan yang tepat dan benar.
4.         Kebenaran     -   tidak ada kompromi dalam laporan yang berdasarkan kebenaran.
5.         Hubungan     -   gemar mendekati semua  peringkat  manusia, semuanya sumber berita. 
6.         Berpengetahuan  -  luas pengetahuan, up-to-date dengan  segala perkembangan dan    
                                                   sanggup  menambah ilmu.
7.         Komunikasi   -   bijak berkomunikasi dengan setiap  golongan masyarakat.